ARKITEK tengah Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi lega akhirnya dapat menjaringkan gol buat pasukan Selangor FC.

Jelasnya, taktikal yang digunakan Tan Cheng Hoe dengan menyimpan bola dapat diadaptasi sebaik mungkin pemain bagi memperoleh peluang melakukan jaringan.

Selain itu, pemain juga sudah dilihat semakin serasi dengan corak latihan baharu yang diterapkan Cheng Hoe dan tenang beraksi di padang.

“Saya rasa bersyukur, semasa latihan saya sering mencuba untuk beraksi lebih baik dan Alhamdulillah saya menjaringkan gol pada hari ini.

“Saya rasa dengan taktikal baru ini semua pemain boleh main sebab sudah biasa, mungkin ada banyak lagi yang boleh diperbaiki kerana kita baru sahaja berlatih bersama dengan jurulatih baru.

“Kita bermain secara simpan bola, dengan semangat juang tinggi, pemain juga seronok beraksi di dalam padang,” ujarnya.

 

 

Pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ,  Merah Kuning tiada masalah membelasah Melaka United FC 5-0.

Nor Hakim Hassan dan Mukhairi Ajmal meledak pada separuh masa pertama, manakala Brendan Gan (dua gol) dan Caion mencatat jaringan pada babak kedua.