PASUKAN Kedah bawah 12 (B-12) tahun muncul juara bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) apabila menewaskan seteru utara, Perlis 1-0 pada pentas akhir di Dataran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) (B) pagi tadi.

Muhammad Aizad Asseri muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan seawal minit ketujuh.

Lebih manis, Muhammad Zafirul Haziq Zaharul dari Sekolah Kebangsaan Binjal dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Kedah B-12.

Jurulatih Kedah B-12, Mohd Firdaus Norazman puas dan berbangga melihat semangat kesemua pemain muda Kedah dalam aksi final ketika menentang Perlis B-12 pada Rabu.

“Syukur Alhamdulillah. Kepuasan yang tiada tandingan. Saya juara di home town saya sendiri dengan membawa nama Kedah Darul Aman.

“Karakter pemain berjiwa fighter hari ini. Mereka memberikan 200 peratus untuk perlawanan akhir. Kita mendapat gol pada separuh masa pertama dan pemain terus menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga minit ke terakhir.

“Harapan saya semoga para pencari bakat boleh ambil inisiatif untuk melihat pemain bukan sahaja di Kedah sahaja, tetapi di utara seperti Penang, Perlis kerana ada lagi banyak bakat terbaik muda untuk dibawa naik. Insya Allah, kalau diberi ruang dan peluang mereka akan terus meningkat mengharumkan nama negara,” katanya selepas perlawanan.

Kejohanan ini berlangsung dari 24 hingga 30 Ogos 2023 di Johor Darul Ta’zim.