MENJELANG perlawanan kumpulan D, antara Denmark dan Tunisia, jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand menegaskan pasukannya ke Qatar untuk memenangi Piala Dunia.
Denmark yang mara ke separuh akhir Euro 2020 tahun lalu, tampil ke pusingan akhir Piala Dunia dengan reputasi hebat dalam kempen kelayakan.
“Impian kami adalah untuk memenangi sesuatu. Jadi apabila anda menyertai kejohanan dengan adanya sekumpulan pemain berkualiti ini, hanya kemenangan yang dicari,” kata Hjulmand menjelang pertembungan dengan Tunisia malam ini, di Stadium Education City.
Denmark dan Perancis, dijangka berebut untuk menjuarai kumpulan D kerana pasukan yang bergelar naib juara bakal bertemu Argentina di pusingan kedua.

Skuad Kasper Hjulmand ke Qatar dengan misi juara (Photo by Ulrik Pedersen/NurPhoto)
Malah Hjulmand yakin, dengan kembalinya tonggak Christian Eriksen, peluang pasukannya lebih baik dan tiada masalah untuk berdepan satu lagi pasukan, Australia.
Tahun lalu, Erikssen hampir maut di atas padang selepas tiba-tiba rebah akibat serangan jantung ketika saingan Euro 2020.
“Adakah kami pilihan? Tidak… tetapi kami boleh mengalahkan semua pasukan pada hari itu dan kami mempunyai keyakinan diri yang sangat kuat.
ARTIKEL BERKAITAN : Kump D: Denmark dijangka tiada masalah atasi Tunisia
“Kami mempunyai kumpulan pemain yang sangat baik bekerja bersama-sama dan ada cara terbaik untuk memenangi segala-galanya adalah dengan bermimpi besar.”
Denmark akan menentang Tunisia jam 9 malam ini di Stadium Education City.