KELAB Liga Belgium, KV Kortrijk, bercadang melepaskan pemain pasukan kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin. Berita ini disampaikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad.
“Kami akan umumkan kelab baharu (Luqman Hakim) minggu depan, insya-Allah,” tulis Amin Fuad di akaun Twitternya, @aminfuad_10.
We will announce it next week InsyaAllah
— Amin Fuad (@aminfuad_10) January 15, 2023
Setakat ini tidak diketahui sama ada Luqman Hakim akan dilepaskan oleh KV Kortrijk secara kekal atau hanya secara pinjaman.
Laporan media tempatan mendedahkan terdapat dua kelab Eropah cukup berminat untuk mendapatkan khidmat Luqman selepas terpikat melihat aksinya bersama skuad bawah 21 (B-21) KV Kortrijk di Belgium serta aksinya dengan skuad kebangsaan sebelum ini.
Seperkara yang pasti, Luqman Hakim yang kini berusia 20 tahun sukar mendapat minit untuk tampil bersama pasukan senior KV Kortrijk.
Sejak dibawa masuk pada musim panas 2020, Luqman Hakim hanya membuat tiga penampilan untuk pasukan senior. Daripada tiga perlawanan itu, dua daripadanya diperoleh musim ini.
Minit persembahan Luqman Hakim jauh dari memuaskan. Difahamkan Luqman Hakim hanya bermain 19 minit perlawanan.
Tahun lepas, graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu diturunkan dalam peringkat 16 pasukan terakhir Piala Belgium menentang OH Leuven, di mana dia masuk pada minit ke-89 bagi menggantikan Faïz Selemani di bahagian serangan. Dalam aksi itu, KV Kortrijk menang 3-1.