KETUA Jurulatih Bawah 19 Tahun (B-19) Negara, Hassan Sazali Waras mahu memastikan kemenangan pada perlawanan pertama bagi memastikan laluan selepas itu akan menjadi lebih mudah buat skuad negara pada saingan Kelayakan Piala Asia B-20 Tahun di Mongolia.
Meskipun dia sendiri meletakkan sembilan mata maksimum sebagai sasaran peribadi, namun dia mahukan dua kemenangan di peringkat awal sebelum bertemu Korea Selatan.
Hassan turut berpuas hati dengan pemilihan pemain kali ini kerana menggabungkan kekuatan dari dua kejohanan utama yang disertai skuad pelapis kebangsaan ini.

Hassan Sazali Waras
“Alhamdulillah kami selesai menjalani sesi latihan dan memilih 23 dari 26 orang pemain untuk dibawa ke Mongolia. Tiga pemain terpaksa digugurkan kerana kecederaan dan terdapat pemain yang lebih baik berada pada posisinya.
“Kami telah mengadakan tiga perlawanan persahabatan dan kini bersedia untuk mulakan kempen bertemu Mongolia. Perlawanan pertama sangat penting untuk mendapat tiga mata untuk memastikan aksi yang lebih mudah pada perlawanan selepas itu.
“Dari sembilan mata maksimum yang dipertaruhkan, kami mensasarkan dua kemenangan awal bertemu Mongolia dan Sri Lanka dan berusaha untuk seri dengan Korea Selatan.
“Majoriti barisan pemain yang dipilih adalah mereka yang dikekalkan dari kejohanan AFF B-19 lalu dan ada juga pemain dari Piala Jemputan di Vietnam bulan lalu. Kami mempunyai gabungan dua kekuatan untuk dibawa ke Mongolia.
Skuad Harimau Malaya B-19 kendalian Hassan Sazali Waras di KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 2023, 14-18 September 2022.
Penerbangan diuruskan oleh @MAS Rakan Penerbangan Rasmi FAM#FAM #HarimauMalaya #AFCU20 pic.twitter.com/ydpXm6gm47
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 11, 2022
“Pemain yang dipilih juga mampu bermain lebih dari satu bahagian kerana jadual yang padat dengan tiga perlawanan dalam enam hari serta keadaan cuaca disana sekitar 15 hingga 17 darjah selsius. Namun begitu saya yakin pemain tidak akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri,” katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ahad.
Skuad B-19 Kebangsaan akan bersaing dalam Kelayakan Piala Asia B-20 Tahun di Mongolia bermula 14 hingga 18 September 2022 dengan juara kumpulan layak ke Piala Asia B-20 2023 di Uzbekistan.