BAGI memastikan skuad negara meraih pingat emas Olimpik pertama dan merampas semula Piala Thomas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjalin kerjasama dengan Persatuan Badminton Thailand (BAT).

Memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung di Grand Hotel, Bangkok, Thailand pada Ahad.

Presiden BAM Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, jalinan kerjasama itu akan menguntungkan kedua-dua pihak yang berkongsi matlamat yang sama.

“Kerjasama hari ini bukan hanya penting buat BAM malah projek pembangunan badminton negara yang meletakkan matlamat merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024. Kita juga meletakkan matlamat menjulang Piala Thomas pada tahun yang sama,” kata Norza dalam satu kenyataan.

Norza mewakili BAM manakala Presiden BAT, Khunying Patama Leeswadrakul mewakili Thailand.

Kerjasama itu dijalinkan untuk tempoh dua tahun, bakal menyaksikan hubungan strategik membabitkan kerjasama pelbagai aspek dari sains sukan hingga program latihan pemain dan kejurulatihan selain kerjasama antara pegawai persatuan.