PENYERANG skuad B-23 tahun kebangsaan, Aliff Izwan Yuslan gembira dengan jaringannya yang membantu Harimau Malaya memenangi perlawanan ke atas Bangladesh dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024.
Jaringannya pada minit ke-82 dan Fergus Tierney pada minit terakhir perlawanan memastikan Malaysia mengutip tiga mata sekaligus mencerahkan peluang untuk layak secara merit ke Piala Asia AFC B-23 tahun hadapan.
“Sokongan dari rakan sepasukan membuatkan saya mampu beraksi seperti ini. Rasa puas hati dan bangga kerana di kejohanan peringkat AFC ini saya yang paling muda dalam skuad, saya baru 19 tahun dan ini buatkan saya gembira,” katanya selepas perlawanan.
🎙️Dengarkan komen pemain skuad Harimau Malaya B-23, Aliff Izwan Yuslan selepas satu jaringannya membantu kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh pada aksi pertama Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Thailand, petang tadi.#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/E6RFEq7qAC
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 6, 2023
Aliff juga mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya untuk fokus kepada pemulihan dan aksi seterusnya kerana tiga mata begitu penting untuk memastikan kelayakan secara automatik.
“Untuk perlawanan seterusnya, kami mahu menang kerana kami sentiasa ingin menang dan mahu layak ke peringkat seterusnya. sekarang kami perlu fokus pada pemulihan dan perlawanan akan datang,” jelasnya.
Malaysia akan menentang Filipina dalam perlawanan kedua pada Sabtu dengan kemenangan bakal menjamin tempat yang lebih terbuka untuk layak secara merit ke Piala Asia AFC B-23 tahun hadapan.