BADANG negara, Muhamad Aniq Kasdan berada di landasan terbaik dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih pingat gangsa acara clean & jerk di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi.
Aniq, 21, membuktikan harapan boleh disandarkan ke bahunya apabila melakukan angkatan 161kg untuk meraih gangsa.
Lebih bermakna, angkatan 125kg bagi acara snatch berjaya mencatat keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan kategori 61kg.

Ini adakah kali kedua Aniq memenangi pingat di Kejohanan Dunia selepas memenangi pingat perak dalam acara clean & jerk kategori 55kg pada edisi 2021 yang berlangsung di Uzbekistan.
Pingat emas acara clean & jerk dimenangi atlet Amerika Syarikat, Hampton Moris dengan angkatan 168kg manakala Li Fabin dari China meraih perak (167kg).
“Alhamdulilah, ini adalah pingat kedua bagi saya di Kejohanan Dunia. Ini adalah pencapaian kedua terbesar saya selepas Sukan Komanwel (pingat emas).
“Semoga dengan kejayaan ini menjadi motivasi untuk saya melakar kejayaan pada masa akan datang,” kata Aniq.
Bagi Aniq, kejayaan di Riyadh memberi tonik tambahan buat dirinya mengharungi baki tiga kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.

Kini, dia landasan tepat untuk menjadi atlet angkat berat pertama Malaysia layak secara merit ke temasya terbesar dunia itu, apabila menduduki kedudukan ranking kesembilan keseluruhan selepas mengharungi tiga kejohanan.
Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori (hanya satu atlet satu negara) Olimpik layak secara automatik untuk ke Sukan Olimpik 2024 Paris.
Selepas ini Aniq, akan mengharungi tiga lagi kejohanan kelayakan iaitu Kejohanan IWF Grandprix 2 (4 hingga 14 Disember 2023) di Qatar, Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan (3 hingga 10 Februari 2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2 hingga 12 April 2024).
“Saya akan terus bekerja keras dan kekal fokus bagi membuat persiapan menghadapi tiga lagi baki kejohanan selepas ini,” kata Aniq.