Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menuai hasil daripada prestasi meyakinkan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini apabila mengumpul ganjaran keseluruhan berjumlah AS$1.3 juta (RM5.07 juta) selepas berjaya melangkah ke pusingan 16 terakhir.
Kejayaan itu dimuktamadkan susulan kemenangan tipis 1-0 ke atas Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dengan Marcos Guilherme muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Menurut laporan ASEAN Football, jumlah berkenaan merangkumi bayaran penyertaan sebanyak AS$800,000 (RM3.12 juta) yang diberikan kepada setiap kelab bertanding dalam kejohanan elit Asia itu.
Selain itu, skuad Harimau Selatan turut meraih AS$300,000 (RM1.17 juta) hasil tiga kemenangan di peringkat kumpulan, dengan setiap kemenangan bernilai AS$100,000 (RM390,000). Tiga kemenangan tersebut dicatat ke atas Vissel Kobe (1-0), Chengdu Rongcheng (2-0) dan Shanghai Shenhua (3-1).
Kemaraan ke pusingan 16 terbaik turut menghadiahkan tambahan AS$200,000 (RM780,000) kepada juara Liga Super itu sebagai insentif prestasi.
Bagaimanapun, jumlah RM5.07 juta tersebut tidak termasuk pendapatan lain seperti tajaan, hak penyiaran serta subsidi tambahan yang diterima sepanjang kejohanan berlangsung. JDT juga memperoleh subsidi perjalanan sekitar RM195,000 bagi setiap aksi di tempat lawan.
Ganjaran kewangan itu dilihat sebagai dorongan besar buat anak buah Xisco Munoz untuk terus melakar kejayaan di pentas Asia, apatah lagi juara ACLE musim ini bakal membawa pulang hadiah lumayan berjumlah AS$10 juta (RM39 juta).