STRATEGI menjadi amat kritikal apabila melibatkan sukan berpasukan, malah percaturan strategi tidak hanya bergantung pada hari pertandingan, sebaliknya dilancarkan sebelum memasuki fasa pertandingan.
Perkara sama diperlukan skuad Piala Thomas negara yang masih belum dapat menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 1992.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek yakin percaturan ranking dunia pemain mampu membntu skuad Piala Thomas negara.
Percaturan ranking dunia dalam kalangan perseorangan lelaki, nampaknya amat realistik dan menjadi kunci utama menjelang Piala Thomas April ini, dengan susunan pemain yang tepat mampu memberi kelebihan taktikal kepada pasukan.
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek menegaskan pendekatan berpasukan perlu diutamakan kerana kejohanan berpasukan menuntut strategi di luar gelanggang sama penting dengan aksi di dalamnya.

Lee Zii Jia kini berada di ranking ke-64 dunia, menjadi perseorangan keempat terbaik negara.
Justeru, beliau berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kem Lee Zii Jia dapat mencapai kata sepakat demi merangka pelan terbaik menghadapi cabaran.
Menurut Rashid, meletakkan Zii Jia (kini di ranking ke-64 dunia), sebagai perseorangan ketiga berpotensi memberi mata penting kerana “kalau ikutkan ranking semasa, peluang untuk dia menang lebih cerah dan boleh bantu pasukan.”

Situasi perseorangan negara pada kedudukan genting ditambah Ng Tze Yong belum dapat beraksi di Jelajah Dunia.
Berdasarkan kedudukan semasa, Leong Jun Hao di ranking ke-27 dunia mengetuai barisan perseorangan diikuti Justin Hoh (39) dan Aidil Sholeh (46), sekali gus menjadikan percaturan posisi semakin kritikal.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia ketika ini banyak bergantung kepada perancangan rapi kerana acara perseorangan dilihat lebih rapuh berbanding beregu lelaki.

Biarpun berada dalam ranking Top 6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun masih belum memcapai tahap Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Rashid menambah strategi menyusun pemain mengikut perancangan ranking, bukan perkara baharu apabila China pernah menggunakannya dengan berkesan hasil kajian mendalam skuad mereka.
Malah pada saingan Berpasukan Asia di Tsingtsao, China, awal bulan ini turut menyaksikan Indonesia mempertaruh pengalaman Anthony Sinisuka Ginting sebagai perseorangan ketiga dan mereka memperoleh laba, apabila memenangi perlawanan peringkat kumpulan menentang skuad kedua negara.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir mara ke final pada 2014 sebelum tewas 2-3 kepada Jepun, sekali gus menjadikan edisi kali ini medan penting untuk menghidupkan semula impian kejuaraan.