KETUA Pegawai Eksekutif HockAcademy Sukhjit Singh mendedahkan bahawa pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL).
Menurut Sukhjit, tindakan tersebut diambil berikutan timbul kecurigaan terhadap beberapa perkara dalam persatuan.
“Laporan permohonan siasatan terhadap akaun bank Persatuan Hoki Kuala Lumpur telah dibuat pada 31 Januari 2025 disebabkan timbulnya kemusykilan.
“Perkara paling utama adalah laporan audit bagi tahun 2024 yang sehingga kini masih belum disediakan selepas menerima laporan untuk tahun 2022 dan 2023 pada 2 Januari 2025.
“Ia juga termasuk membuat siasatan ke atas tiga akaun bank milik persatuan, serta penangguhan Mesyarat Agung Tahunan (AGM) PHKL sebanyak tiga kali, iaitu 31 Mac 2024, 28 Disember 2024 dan 25 Januari 2025.
“Tempoh jawatankuasa sepatutnya telah berakhir pada 31 Mac 2024, namun mereka menangguhkan AGM sehingga hari ini,” jelasnya dalam satu kenyataan.

AGM yang sepatutnya diadakan 25 Januari lalu ditangguhkan buat kali ketiga tanpa alasan yang kukuh.
Tambah Sukhjit, banyak juga kekeliruan yang timbul selepas pihak PHKL menggunakan alasan masih belum menerima laporan juruaudit luar sehingga membuat penangguhan pada AGM yang sepatunya berlangsung pada 28 Disember 2024.
“Kenapa mereka (presiden, bendahari atau setiausaha) perlu menipu?
“Dan bilakah akaun 2024 akan dibentangkan kerana secara rasmi selepas tempohnya telah berakhir pada 30 Mac 2024 yang bertanggungjawab untuk perbelanjaan tahun tersebut.
“Akaun 2022 dan 2023 yang diberikan adalah sangat tidak terperinci seperti elaun sebanyak RM18,800.00 Untuk tahun 2022, dibayar kepada siapa, pasukan mana (Piala Razak) , bawah 16 tahun tidak dinyatakan, begitu juga dengan pakaian sukan RM18,870 beli barang dari pembekal dan diberikan kepada pasukan mana?.
“Begitu juga pada tahun 2023 sebanyak RM20,589, untuk kejohanan dan acara yang tidak jelas perinciannya.
“Dalam mana-mana set akaun mesti ada nota bagi semua ahli-ahli gabungan untuk melihat dan bertanya soalan.
“Akaun ini sangat kabur, banyak persoalan timbul dan ragu-ragu. Maka kami telah membuat laporan polis dan SPRM untuk menyiasat perkara-perkara yang berselindung ini.