KEMENANGAN pertama di laman sendiri dalam aksi Liga Super musim ini cukup melegakan jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Lebih manis, kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC di Stadium Bandaraya semalam turut mengakhiri kemarau jaringan di gelanggang sendiri dalam enam perlawanan liga sebelum ini.
“Ini kemenangan pertama kita, sebelum perlawanan ini, kita masih tak dapat jaringkan gol di Stadium Bandaraya dan kali ini pemain ambil tanggung jawab untuk dapatkan kemenangan. Kemenangan ini penting untuk kita bersaing dengan pasukan lain dan tak nak ketinggalan mata.
“Kelantan adalah pasukan yang bagus, mereka ada pemain muda yang selalu berlari, mengejar bola. Saya harap momentum kemenangan ini dapat dikekalkan bila kita bertandang ke Kuching minggu depan,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Bandaraya itu, Rodrigo Dias membuka akaun jaringannya pada minit ke-12, sebelum Penang menambah gol pada minit ke-34 dan 75 menerusi jaringan Nik Akif Syahiran dan Rafael Vitor untuk meletakkan mereka kini menghuni tangga ketujuh liga dengan sembilan mata.
Menurut Akmal, beliau gembira dengan suasana dalam pasukan ketika ini di mana semua pemain bersaing hebat untuk merebut tempat untuk diturunkan beraksi.
“Apa yang penting adalah kami mendapat tiga mata dan tiga jaringan. Ini kali keempat pertahanan kami tidak dibolosi. Ini adalah motivasi terbaik untuk kami bersaing dengan pasukan lebih besar. Pemain-pemain sentiasa bersaing merebut tempat untuk berada dalam kesebelasan utama dan berada dalam skuad 20 pemain. Ini adalah persaingan sihat di kalangan pemain,” katanya.
Bekas penyerang kebangsaan itu mengakui akan menilai semula tahap prestasi dan kecergasan semua pemain bagi merangka strategi lebih ampuh sebagai persediaan berdepan Kuching City FC pada 11 Ogos depan.