VIKTOR Axelsen menangis selepas gagal mempertahan gelaran Seluruh England, ketika ditunjuk jalan keluar perseorangan muda negara, Ng Tze Yong di pusingan kedua.

Dalam sesi temubual di Utiliti Arena Birmingham, pemain nombor satu dunia itu gagal mengawal emosi dan menitiskan air mata meskipun ketika diajukan soalan.

“Memang saya amat emosi hari ini kerana saya memberi segala-gala.

“Apapun tahniah buat Ng Tze Yong… saya rasa dia memberikan aksi terbaik. Meskipun saya mahu lakukan lebih baik tapi hari ini bukan hari saya,” katanya, sebak sambil kelihatan air mata menitis di pipi.

Viktor Axelsen gagal menahan sebak hingga menitiskan air mata, dalam temubual selepas tersingkir di pusingan kedua, Seluruh england 2023.

Apabila ditanya, mengapa dia cukup beremosi apabila tewas kepada Tze Yong, Axelsen berkata: “Kejohanan ini antara yang paling istimewa buat saya, satu antara kejohanan terbesar.

“Jadi saya nak sangat beraksi cemerlang tapi sebaliknya awak gagal… sememangnya sukar diterima.”

Pada perlawanan lewat malam tadi, Tze Yong yang berada diranking ke-28 dunia, menang 21-15, 9-21, 23-21.

“Dia (Tze Yong) bermain cemerlang, manakala saya melakukan banyak kesilapan, tiada apa pagi untuk dikatakan mengenainya.

“Hari ini sudah ada seorang pemenang dan yang kalah.

“Tze Yong layak ke atas kemenangan ini dan malangnya bagi saya, apa saya lakukan tidak cukup.”

Kemenangan dilakar Tze Yong itu cukup besar kerana bukan disebabkan dia menewaskan pemain nombor satu dunia, malah disebabkan dia baharu membuat penampilan pertama di kejohanan tertua dunia itu.

Ketika ramai pemerhati antarabangsa menganggap mustahil buat pemain ‘kurus kering’ berusia 22 tahun memberi tekanan kepada Axelsen, Tze Yong telah membuktikannya.

Ng Tze Yong ketika menewaskan Viktor Axelsen di Kejohanan Seluruh England 2023.

“Ini adalah kemenangan terbesar dalam kerjaya saya.

“Ini kali pertama beraksi di Seluruh England tetapi kali kedua daya bermain di Birmingham selepas Sukan Komanwel, saya rasa amat teruja,” kata Tze Yong yang menang pingat perak perseorangan lelaki dan emas berpasukan campuran di temasya itu.

Tze Yong akan berdepan satu lagi cabaran getir, apabila dijadual menentang pemain China, Li Shi Feng di peringkat suku akhir.

Berdasarkan rekod, Axelsen tidak pernah gagal melangkah ke suku akhir Seluruh England sejak 2014.

Dia melangkah ke final pada empat edisi terakhir, muncul juara 2020 dan 2022.