TAKUT untuk menyatakan tetapi itulah hasrat pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon, iaitu mahukan kejuaraan KL Masters.

Selepas menempah tiket ke separuh akhir, Peng Soon yang bergandingan dengan Cheah Yee See mula berani bersuara mengenai hajat besarnya itu.

Gandingan berpengalaman itu ke pusingan empat terbaik selepas mendapat kemenangan percuma ke atas Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun semalam selepas beregu dari Taiwan itu menarik diri.

Begitupun, Peng Soon dan gandingannya enggan terbuai dengan kemajuan setakat ini.

Meskipun saingan berstatus Jelajah Dunia Super 100 sahaja, namun Peng Soon menganggap cabaran sukar daripada setiap lawan selain mahu fokus kepada satu demi satu perlawanan.

“Sudah tentu harapan kami ke perlawanan akhir. Walaupun ini adalah kejohanan Super 100, namun sudah lama saya dan Yee See tidak beraksi dengan baik, jadi inilah peluang kami dapatkan gelaran.

Chan Peng Soon-Cheah Yee See ke separuh akhir Kejohanan KL Masters 2023.

“Sekarang kami layak ke separuh akhir, jadi akan cuba untuk mara ke perlawanan akhir dan kemudian baru fikir mengenai juara,” kata Peng Soon.

Untuk rekod, beregu yang berada pada ranking ke-44 dunia itu mengharungi prestasi hambar sejaktahun lalu, manakala aksi mereka musim ini kurang memberangsangkan apabila hanya sekali melangkah ke pusingan suku akhir ketika menyertai Orleans Masters April lalu.

Justeru, peluang untuk meraih gelaran sulung di KL Masters pastinya tidak mahu dilepaskan beregu profesional itu meskipun Peng Soon mengakui mereka tetap berdepan cabaran sukar pada aksi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu.

“Kalau nak cakap pasal cabaran, memang agak sukar kerana ramai pemain yang datang walaupun ia hanya kejohanan Super 100. Selain itu, pemain-pemain muda sekarang pun ramai yang meningkat, jadi kami hanya perlu lebih konsisten.”