PEMAIN E-Football nombor satu dunia, Ahmad Muhaimin, atau lebih dikenali sebagai Minbappe, kini melangkah ke era baharu dalam kerjayanya selepas mencipta sejarah menjuarai Peringkat Grand Final Kejuaraan Dunia FIFA e E-Football Mobile 2024 di Riyadh, Arab Saudi.

Minbappe kini menyertai pasukan Todak, salah satu nama besar dalam dunia E-Sukan, dengan misi besar untuk mengharumkan nama pasukan itu.

Ketika ditemui di majlis pelancaran kedai baharu pasukan Todak di Shah Alam, pada Sabtu, Minbappe ada menceritakan bagaimana perjalanan kerjayanya bersama pasukan Todak berumula.

“Pada mulanya, saya tidak pernah terfikir pun yang Todak ada buka untuk E-Football, tetapi jurulatih saya yang membawa saya semasa di Asia Esport Game di Bangkok, dia menceritakan perkara ini kerana dia ada berjumpa dengan majikan pasukan Todak,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada Sabtu.

Minbappe menambah bahawa melalui usaha jurulatihnya, dia akhirnya dipelawa untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Todak yang kini menjadi medan untuknya terus bersinar dalam arena E-Football.

Mengulas tentang pasukan baharunya, Minbappe telah meletakkan harapan tertentu pada dirinya dan pasukan baharunya itu untuk masa akan datang.

“Harapan saya untuk pasukan baru ini sudah pasti untuk lebih mendominasi kejohanan semasa di Malaysia.

“Insya Allah, saya akan cuba untuk mengangkat lagi nama Todak dalam arena E-Football ini,” katanya lagi

Berkongsi tentang perancangan masa depan, Minbappe mendedahkan bahawa kejohanan seterusnya ialah Liga E-Football Malaysia (MYEL), yang melibatkan semua pasukan E-Football di Malaysia.

“Untuk kejohanan seterusnya, buat masa ini adalah Liga E-Football Malaysia yang melibatkan semua pasukan yang ada dalam Malaysia.

“Kejohanan itu juga melibatkan kedudukan markah, jadi insyaallah saya dan pasukan akan menjadikan pasukan Todak sebagai pasukan nombor satu E-Football dalam Malaysia,” jelasnya.

Sebagai tambahan, Minbappe turut menyatakan hasratnya untuk terus mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

“Buat masa ini, yang pastinya saya nak mewakili Malaysia lagi dipentas antarabangsa tetapi untuk masa sekarang saya akan fokus bersama pasukan Todak dahulu.

“Insya Allah jika ada rezeki saya lagi untuk mewakili pasukan Malaysia, sudah pasti saya nak banggakan Malaysia,” tambahnya.