PENYOKONG Tok Gajah dan orang ramai akan menikmati kemudahan yang lebih selesa setiap kali menonton pelbagai acara khususnya melibatkan sukan bola sepak di Stadium Darul Makmur.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, pihaknya akan meningkatkan kemudahan dan fasiliti sedia ada yang terdapat di gelanggang berkenaan.

“Tinjau kemudahan di Stadium Darul Makmur sambil bertemu staf di sana.

“Insya Allah kita akan berusaha tambah baik kualiti kemudahan yang disediakan demi keselesaan pengguna sekali gus meningkatkan mutu sukan di negeri ini,” katanya baru-baru ini.

Stadium Darul Makmur yang dibina pada tahun 1973 itu boleh memuatkan kapasiti 40,000 penonton dalam satu-satu masa.

Venue tersebut merupakan gelanggang tuan rumah bagi pasukan bola sepak Sri Pahang FC yang bakal beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2023.