SELEPAS hampir setahun mencari jawapan, bintang Selangor FC dan skuad Harimau Malaya, Faisal Halim akhirnya terpaksa akur apabila siasatan terhadap insiden serangan asid ke atas dirinya diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA), atau tiada tindakan lanjut.

Keputusan itu dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara menerusi sepucuk surat bertarikh 18 Februari 2025 kepada pasukan peguam Faisal, diketuai Nik Zarith Nik Moustpha.

Menurut Nik Zarith, pihak mereka telah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak insiden menyayat hati itu berlaku pada Mei 2024 termasuk menyediakan segala maklumat dan bukti yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Mohd Haijan Omar dan Nik Zarith Nik Moustpha peguam kepada Faisal Halim.

Bagaimanapun, keputusan NFA ini nyata satu tamparan besar buat Faisal yang masih menjalani proses pemulihan fizikal dan emosi akibat trauma yang dialaminya. Meskipun kecewa, pemain sayap lincah itu memilih untuk terus maju ke hadapan dan tidak membiarkan perkara ini memusnahkan karier serta kehidupannya.

“Anak guam kami sangat kecewa, namun beliau tetap tabah dan memilih untuk ‘move on’,” kata Nik Zarith pada satu sidang media khas hari ini.

Mohd Haijan Omar dan Nik Zarith Nik Moustpha peguam kepada Faisal Halim menunjukan dokumen berkenaan NFA yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Dalam arena bola sepak tempatan, Faisal Halim bukan sekadar pemain biasa, beliau ikon semangat juang, dan insiden tragis itu pernah menggoncang dunia sukan tanah air.

Kini, dengan keputusan siasatan ini, persoalan siapa dalang sebenar masih terus menjadi misteri, namun bagi Faisal, fokus utamanya adalah kembali lebih kuat di atas padang, demi Selangor dan Harimau Malaya.

Walau keadilan belum berpihak, langkah Faisal tetap gagah.