RATU skuasy negara, S Sivasangari, terus membara apabila mara ke final Terbuka Silicon Valley 2025 selepas membenam pemain Mesir, Salma Hany, dalam aksi separuh akhir penuh bergaya di Redwood City, Amerika Syarikat.
Pemain ranking ke-8 dunia itu tidak memberi ruang langsung kepada lawannya apabila menamatkan saingan dalam masa 22 minit sahaja, hasil pukulan tajam dan corak permainan agresif yang memerangkap Salma sejak awal.
Selepas menyingkirkan bintang tuan rumah Amanda Sobhy di suku akhir, Sivasangari mengekalkan rentak konsisten untuk mengatur pertemuan final menentang Olivia Weaver dari Amerika Syarikat, yang kini menduduki tangga kelima dunia.
Dominasi pemain berusia 26 tahun itu jelas terserlah apabila mendahului 6-1 dalam set kedua sebelum menamatkan permainan dengan keputusan 11-9, 11-6, 11-5, sekaligus menebus kekecewaan tersingkir di peringkat sama tahun lalu.
“Saya sangat gembira, Salma pemain yang licik dan berbakat besar. Kali terakhir kami bertemu, saya mendahului 2-0 tapi tewas akhirnya. Hari ini saya fokus setiap mata, setiap pukulan,” katanya kepada Jelajah PSA sebaik tamat perlawanan.
Katanya, kemenangan itu hadir hasil disiplin dan kekal kepada pelan permainan yang dirangka bersama jurulatih, sekali gus membuktikan peningkatan tahap kematangannya di gelanggang.
“Saya ikut perancangan dengan baik hari ini dan lebih tenang berdepan tekanan. Ini kemenangan penting buat keyakinan diri,” ujarnya lagi.
Dengan prestasi membara ketika ini, Sivasangari kini di ambang kejuaraan berprestij pertamanya tahun ini, sambil mengintai peluang untuk menumbangkan pemain elit dunia dalam misi mengukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas.