PENGERUSI Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac memberi bayangan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil sedia untuk digunakan tidak lama lagi termasuk aksi final Piala Malaysia bulan depan.

Menerusi hantaran di InstaStory peribadinya pada Jumaat, beliau berkongsi sekeping foto bahawa pihaknya sudah mempunyai penyelesaian bagi perlawanan akhir terbabit yang menjadi bualan hangat di media sosial

“Kerja-kerja sedang bermula untuk aksi akhir Piala Malaysia pada 8 Disember ini,” katanya.

Isaac turut menyertakan gambar gulungan rumput membuktikan keseriusan PSM menguruskan hal tersebut.

Petang tadi, isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil terus menjadi perbualan selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar keadaan rumput terkini di platform X pada Jumaat.

Walau bagaimanapun, hantaran pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mengandungi sebarang ulasan atau kapsyen.

Difahamkan, TMJ seolah-olah tidak puas hati terhadap kualitinya selepas Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri lebih 75,000 penonton malam Rabu lalu.

Menerusi perkongsian foto tersebut, kelihatan beberapa bahagian rumput di padang SNBJ rosak dan berwarna kuning dipercayai kurang mendapat pencahayaan akibat penganjuran konsert Coldplay.

ARTIKEL BERKAITAN : Padang Stadium Nasional Bukit Jalil rosak gara-gara konsert Coldplay?