PRESIDEN Motorsports Association of Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir, menekankan kepentingan program akar umbi dalam membangunkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.
Beliau memuji kerjasama erat antara pihaknya dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah membantu memperkukuhkan asas pembangunan sukan ini.
Menurut Mokhzani, tanpa pembangunan akar umbi yang kukuh, sukan permotoran Malaysia sukar melahirkan bakat-bakat baharu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Program akar umbi sangat penting kerana ia adalah tempat kita membesarkan ‘talent pool’ untuk negara. Tanpa usaha ini, kita tidak akan menemui ikon, idola, atau juara baharu yang mampu membawa nama Malaysia ke pentas dunia,” katanya.
Mokhzani turut menyatakan sokongan KBS terhadap penganjuran program-program pembangunan bakat ini sangat baik, terutama dalam memastikan kejayaan sukan permotoran negara.
“Kerjasama dengan KBS telah banyak membantu kami dalam melaksanakan pelbagai program akar umbi. Malah, KBS turut dijemput untuk mengenal pasti individu yang layak menerima anugerah pada malam MAM Awards 2024 nanti,” ujarnya.
Bagi Mokhzani, MAM Awards Night bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan kejayaan tetapi juga sebagai pengiktirafan kepada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh semua pihak yang terlibat dalam sukan permotoran.
“Apabila kejayaan diraikan secara besar-besaran, ia memberikan motivasi kepada semua pihak untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan ini.
Ini juga membuka peluang untuk menarik lebih banyak penaja bagi menyokong agenda pembangunan sukan permotoran Malaysia,” katanya.
Majlis yang bakal berlangsung pada 25 Februari ini diharap menjadi acara tahunan yang akan terus memartabatkan sukan permotoran negara.
“Selain memberi pengiktirafan, acara seperti ini menunjukkan bahawa Malaysia serius dalam memajukan sukan ini ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.
Dengan perancangan strategik yang melibatkan kerjasama badan induk seperti MAM dan sokongan kerajaan melalui KBS, sukan permotoran Malaysia dijangka terus berkembang pesat dan menjadi kebanggaan negara.