ARENA sukan permotoran Malaysia bakal menerima pengiktirafan apabila Majlis Anugerah Motorsports Association of Malaysia (MAM) 2024 akan diadakan pada 25 Februari ini.

Acara yang dinantikan ini bertujuan meraikan pencapaian luar biasa para pelumba, pasukan, dan semua pihak yang terlibat dalam sukan permotoran di peringkat tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun 2024.

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir, dalam sesi bersama media menegaskan bahawa acara ini bukan sekadar majlis penghargaan, malah platform untuk memperkukuh kedudukan sukan permotoran negara di persada antarabangsa.

“Kami mahu meraikan kejayaan ini dengan cara yang lebih bermakna, bukan hanya di litar, tetapi di pentas yang lebih besar.

“Apabila kejayaan diraikan di majlis berprestij seperti ini, ia bukan sahaja memberi impak kepada peserta tetapi turut menarik perhatian masyarakat, media, dan pihak penaja. Ini amat penting untuk kelangsungan sukan permotoran di Malaysia,” ujar beliau.

Mokhzani menjelaskan, MAM kini telah kembali aktif sepenuhnya sejak pulih daripada impak pandemik Covid-19.

“Penganjuran acara ini juga merupakan bukti bahawa MAM, sebagai badan induk sukan permotoran negara yang diiktiraf oleh Federation Internationale de l’Automobile (FIA) dan FIM Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM), sentiasa komited memastikan perkembangan sukan ini terus maju.

“Alhamdulillah, penyertaan dalam perlumbaan dan aktiviti permotoran telah kembali ke tahap sebelum pandemik.

“Kami ingin menunjukkan bahawa MAM adalah organisasi yang bertanggungjawab, aktif, dan amat serius dalam memastikan keselamatan dan pembangunan sukan ini sentiasa diutamakan,” katanya.

Acara ini dijangka dihadiri oleh lebih 750 individu, termasuk pelumba, pegawai teknikal, media, dan wakil organisasi.

“Majlis ini adalah penghormatan kepada semua wira permotoran negara, sama ada yang bersaing di litar besar atau kecil. Semua orang yang menyumbang kepada sukan ini layak mendapat pengiktirafan,” tambah beliau.

MAM Awards Night juga diharap dapat memberi pendedahan yang lebih meluas kepada sukan permotoran negara, sekali gus menarik minat pihak luar untuk memberikan sokongan melalui penajaan.

“Dengan liputan media yang lebih besar, kita dapat membuka peluang baharu yang akan membantu menjayakan agenda pembangunan sukan ini,” katanya lagi.