PERMULAAN pantas Khairul Hafiz Jantan dan pecutan bersahaja Muhammad Azeem Fahmi membantu kuartet lari bergant-ganti 4×100 meter (m) lelaki negara mara ke final Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung petang ini.

Kuartet negara yang turut dibarisi Jonathan Nyepa selaku pelari kedua dan Thaqif Mohammad Hisham (pelari ketiga) mencatat masa kedua terpantas dalam saringan pertama 39.20 saat (s).

Larian bertenaga Khairul Hafiz membolehkan kuartet negara yang pertama melakukan pertukaran baton, sebelum Thailand memintas pada pertukaran baton kedua antara Jonathan dan Thaqif.

Tindakan Azeem menunggu Thaqif di garisan pelari terakhir, menyaksikannya menerima baton serentak dengan Puripol Boonson yang mendahului kira-kira satu meter.

Kuartet negara menamatkan larian di belakang Thailand yang dibarisi Natawat Iamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson selepas kuartet negara jiran itu mencatat rekod baharu kejohanan 38.66s.

Turut mara ke final ialah kuartet Singapura yang mencatat masa ketiga terpantas dalam saringan berkenaan iaitu 39.62s.

Lima lagi negara yang akan beraksi di final 7.50 malam ini (waktu malaysia) di Stadium Nasional Supachalasai ialah China, Korea Selatan, Taiwan, Oman dan Arab Saudi.

Sementara itu, kurtet 4×100 wanita negara yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas juga mara ke final selepas mencatat ketiga terpantas dalam saringan kedua.

Catatan 46.17s sudah cukup buat pelari pecut wanita negara menyertai China, Jepun, Thailand, Hong Kong, Kazakhstan, Uzbekistan dan Singapura dalam aksi final 7.40 malam ini.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja dalam acara 400 meter lelaki dan juga pemegang rekod kebangsaan acara itu, Umar Osman mara ke separuh akhir yang akan berlangsung 5.55 petang ini.

Dia mencatat masa ketiga terpantas 46.72s di belakang dibelakang pelari India, Muhammad Ajmal Variyathodi (46.06s) dan wakil Jepun, Kento Sato (46.08s) dalam saringan ketiga pagi tadi.

Untuk rekod, Umar memegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.34s yang dilakukannya di temasya Sukan Sea Kemboja, Mei lalu.