Select Page

Cabaran Olahraga Niigata: Queenie di landasan tepat

Cabaran Olahraga Niigata: Queenie di landasan tepat

PEMEGANG rekod kebangsaan lempar cakera Queenie Ting, berada dilandasan tepat untuk mememecah rekod miliknya itu, selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan pada Cabaran Olahraga Niigata, Jepun.

Beraksi pada hari pertama kejohanan pada Sabtu, Queenie melakukan lemparan terbaik 49.11m, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Menurut Queenie, dia amat gembira dengan prestasinya itu walaupun tidak mencapai sasaran untuk melepasi jarak 50m.

“Bagi saya, saya amat gembira dengan prestasi hari ini, kerana lemparan saya lebih konsisten dan dua lemparan melepasi jarak 49m,” katanya, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Jurulatihnya, Mohamad Ali Hamid, yang tidak bersama atlet terbabit ke Niigata, mengikut rapat perkembangan Queenie, memberitahu catatan dilakukan atlet bimbingannya itu memberi petanda baik.

Catatan dilakukan Queenie Ting, 49.11m pada Cabaran Olahraga Niigata, Jepun

“Ini adalah pembuka musim baru bagi Queenie iaitu musim 2022/2023. Catatan terakhirnya pada Macrocyle 3 sebelum ini adalah 47.73m yang dilakukan di kejohanan Perak All Comers, Februari 2022, sebelum dia memuncak di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam, Mei lalu, dengan memecah rekod kebangsaan selepas melakar 52.36m.

“Jadi, catatan 49.11m ini satu permulaan baik dalam Macrocycle baharu berbanding sebelum Sukan SEA lalu. Justeru, saya jangka Queenie akan berada di kemuncak prestasi pada Disember ini, dan saya sasarkan dia akan melakukan catatan 54m atau 55 meter,” kata Mohamad Ali, ketika dihubungi.

Tambah Muhamad Ali, pada pembuka Macarocycle ketiga sebelum ini, Queenie bermula dengan 46.74m, dan kemuncak prestasinya di temasya Sukan Antara Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dengan catatan 51.32m.

Jelas beliau, dalam setiap Microcyle, seseorang atlet itu hanya akan berada di puncak prestasi sekali sahaja.

“Justeru, kita jangka kemuncak Mcrocyle 1 bagi musim 2022/2023 adalah di Grand Finale Sirkit IPT pada 15 hingga 18 Disember depan. Setiap Macrocyle, kitarannya adalah tempoh tiga hingga empat bulan dan atlet berupaya melakukan catatan lebih baik sehingga lima meter dalam setiap Macrocycle,” katanya, yang optimis Queenie mampu melebur rekod kebangsaan miliknya sendiri, Disember nanti.

Video Terkini

Loading...