Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) didakwa pernah membiayai layanan seksual untuk pengadil dan pegawai pengadil antarabangsa yang bertugas dalam beberapa perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan antara 2011 dan 2012.

Pendedahan itu dibuat media Korea Selatan, JTBC, berdasarkan laporan audit kerajaan yang disediakan Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan (MCST) pada 2016. Laporan tersebut mendapati sekurang-kurangnya tujuh kejadian ‘layanan tidak wajar’ membabitkan lebih 10 pengadil serta penyelia pengadil asing.

Antara perlawanan yang dikaitkan dengan dakwaan itu termasuk tiga aksi kelayakan Piala Dunia dan Sukan Olimpik serta empat perlawanan persahabatan antarabangsa. Pembayaran pula didakwa dibuat menggunakan kad kredit rasmi KFA di pusat urut dan premis hiburan dewasa di beberapa lokasi di Korea Selatan.

Salah satu kejadian berlaku pada 29 Februari 2012 selepas Korea Selatan menentang Kuwait dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2014 di Seoul. Rekod audit menunjukkan bayaran 500,000 won dibuat menggunakan kad KFA di sebuah pusat urut di Gangnam, dengan MCST menyimpulkan transaksi itu berkaitan layanan seksual kepada dua pegawai perlawanan.

Kes lain direkodkan selepas Korea Selatan menewaskan Oman dalam kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Changwon pada September 2011. Bayaran 760,000 won dibuat kira-kira dua setengah jam selepas perlawanan dan menurut siasatan kerajaan, ia digunakan untuk menyediakan layanan kepada empat pegawai perlawanan.

Laporan audit itu turut merekodkan transaksi berjumlah 198,000 won ketika Korea Selatan menentang Qatar dalam kelayakan Olimpik pada Mac 2012. Bayaran berkenaan didakwa ditujukan kepada seorang penyelia pengadil yang bertanggungjawab memantau pegawai perlawanan.

MCST membuat kesimpulan tersebut selepas meneliti keterangan beberapa pegawai KFA, penyata kad kredit serta dokumen yang diserahkan persatuan berkenaan. Seorang kakitangan KFA turut mendakwa pengadil asing pernah membuat permintaan khusus untuk mendapatkan layanan berkenaan dan perkara itu dianggap sebagai amalan biasa ketika tersebut.

Kesemua kejadian yang didedahkan berlaku ketika Cho Chung-yun memegang jawatan Presiden KFA. Yonhap turut memetik sumber dalam kalangan pegawai bola sepak Korea Selatan yang mendakwa seorang anggota Parlimen mengesahkan layanan seksual disediakan kepada lebih 10 pengadil antarabangsa sepanjang tempoh berkenaan.

KFA dalam responsnya berkata kejadian itu berlaku kira-kira 15 tahun lalu dan rekod dalaman persatuan hanya disimpan selama lima tahun. Bagaimanapun, KFA menegaskan sistem pengurusan telah diperketatkan dengan ketara, termasuk kawalan lebih ketat terhadap penggunaan kad kredit korporat dan perbelanjaan hiburan bagi memastikan tadbir urus lebih telus serta boleh dipertanggungjawabkan.