Kredit Gambar: Josep LAGO/AFP

Liverpool dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat pertahanan Barcelona, Ronald Araujo secara pinjaman selama semusim, dengan perjanjian berkenaan turut disertakan pilihan untuk membelinya secara kekal.

Menurut sumber kepada ESPN, Araujo bersetuju dengan tawaran kelab Liga Perdana Inggeris itu selepas peluangnya untuk mendapatkan tempat utama di Barcelona di bawah kendalian Hansi Flick dilihat semakin terhad.

Pengurus baharu Liverpool, Andoni Iraola mahu menambah kekuatan di bahagian pertahanan selepas Joe Gomez, Giovanni Leoni dan Jeremy Jacquet masih menjalani proses pemulihan daripada kecederaan.

Araujo dilihat sebagai pilihan sesuai kerana selain beraksi di posisi pertahanan tengah, pemain Uruguay itu juga mampu mengisi peranan sebagai bek kanan ketika diperlukan, terutama dengan Conor Bradley masih diketepikan akibat kecederaan.

Liverpool turut berdepan kekurangan pengalaman di benteng selepas Ibrahima Konate meninggalkan kelab secara percuma untuk menyertai Real Madrid pada penghujung musim lalu, manakala Virgil van Dijk tidak disenaraikan dalam skuad jelajah pramusim ke Amerika Syarikat.

Araujo, 27, telah merekodkan 213 penampilan bersama pasukan utama Barcelona sejak dinaikkan ke skuad senior pada 2020. Dia pada awalnya menyertai kelab Catalan itu pada 2018 daripada Boston River dengan nilai perpindahan €1.5 juta (RM7.07 juta), selain tambahan €3 juta (RM14.13 juta) berdasarkan klausa tertentu.

Selepas menjadi antara tonggak penting Barcelona dan kemudiannya dilantik sebagai salah seorang kapten pasukan, kedudukan Araujo dalam skuad utama mula terjejas susulan kehadiran Flick serta masalah kecederaan yang dialaminya.

Barcelona ketika ini mempunyai beberapa pilihan lain di posisi pertahanan tengah termasuk Pau Cubarsi, Eric Garcia, Gerard Martin dan Andreas Christensen, sekali gus membuka ruang untuk Araujo mencari minit permainan lebih konsisten di tempat lain.

Sekiranya perpindahan itu direalisasikan, Araujo bakal menjadi tambahan penting buat Liverpool dalam usaha memperkukuh benteng mereka menjelang musim baharu, dengan pilihan pembelian secara kekal turut memberi peluang kepada The Reds untuk mengekalkan khidmatnya pada masa depan.