BEKAS juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC) kategori lightweight, Khabib Nurmagomedov, bakal membuka gimnasium latihan bertaraf dunia di Johor menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang memaklumkan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Khabib dan MSNJ.

“Syukur Alhamdulillah, saya dan delegasi Kerajaan Negeri Johor berkesempatan mengadakan perjumpaan bersama Khabib ‘The Eagle’ Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight, di Abu Dhabi.

“Semasa sesi mengadap DYAM Pemangku Sultan Johor bersama Khabib pada awal Oktober lalu, kami telah berbincang mengenai program pembangunan belia serta cadangan pembukaan gimnasium latihan di Johor,” ujar Datuk Onn Hafiz dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, delegasi Kerajaan Negeri Johor juga telah melawat gimnasium The Eagle MMA atau lebih dikenali sebagai Khabib Gym di Abu Dhabi. Gimnasium tersebut dilengkapi fasiliti bertaraf dunia seperti MMA octagon dan ruang khas untuk seni mempertahankan diri seperti Jiu-Jitsu, Muay Thai, tinju, dan gusti.

Turut disediakan adalah peralatan lengkap untuk latihan kardio, angkat berat, serta fasiliti pemulihan termasuk sauna dan kolam renang. Kesemua kemudahan ini bertujuan memastikan pengguna dapat mencapai prestasi terbaik ketika menjalani latihan.

“Semoga dengan kerjasama ini, Johor akan terus maju dalam pembangunan ummah serta membuka lebih banyak fasiliti sukan bertaraf dunia. Ini pastinya memberi manfaat besar kepada Bangsa Johor, terutamanya Orang Muda Johor dalam dunia sukan,” tambah beliau.

Pembukaan Khabib Gym di Johor dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan seni bela diri campuran (MMA) di Malaysia dan membuka peluang kepada belia untuk menceburi bidang ini dengan bimbingan fasiliti kelas dunia.