PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Eddy Israfilov mengakui kesukaran bermain dengan 10 pemain dalam aksi menentang Buriram United dapat ditampung dengan sorakan para penyokong yang seakan-akan memberikan kuasa tambahan buat dirinya dan juga rakan-rakan sepasukan.
Pemain antarabangsa Azerbaijan itu turut menjelaskan JDT tidak bernasib baik apabila sekali lagi gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai beberapa peluang dan kini perlu memenangi baki perlawanan untuk layak ke peringkat seterusnya.
“Kami bermula dengan baik di awal permainan tetapi apabila memasuki minit ke-12, kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain, apatah lagi berdepan dengan sebuah pasukan yang berkualiti seperti Buriram United.
“Namun pada penghujung babak kedua, pasukan lawan pula hilang seorang pemain dan bermulanya babak kedua, aksi kembali seimbang dan kami mengawal permainan, hanya gagal menjaringkan gol sahaja dan saya akui perlawanan ini cukup mencabar.
“Sememangnya sukar bermain dengan 10 pemain tetapi kehadiran penyokong yang ramai di belakang kami memberikan kami kuasa tambahan untuk memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Kad merah yang dilayangkan kepada Murilo dan Park Jun-heong menyaksikan perubahan akan berlaku di barisan pertahanan pada dua perlawanan terakhir namun Eddy kekal positif dan yakin JDT akan bangkit untuk menduduki lapan tempat teratas liga.
“Ada baki dua perlawanan lagi dan kami tidak boleh keciciran mata, walaupun sedar ia perlawanan sukar yang bakal kami hadapi, namun kami tiada pilihan dan perlu bangkit untuk kembali menemui sentuhan kemenangan,” jelasnya.
Israfilov dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dan dia mendapat pujian daripada penyokong-penyokong JDT yang menganggap dia adalah antara pembelian terbaik yang pernah dilakukan oleh Harimau Selatan.