PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui bukan mudah untuk mengharungi permainan dengan kekurangan satu pemain namun pasukannya masih mampu mengekalkan bentuk dan kekal kompak sepanjang perlawanan berlangsung.
JDT bermain dengan 10 pemain lebih 30 minit pada babak pertama selepas Murilo Santos dilayangkan kad merah ketika aksi bertemu Buriram United ketika perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Hector juga masih yakin Harimau Selatan mampu layak ke pusingan seterusnya dengan memenangi dua perlawanan terakhir Peringkat Liga meskipun akan kehilangan beberapa tonggak utama apabila berhadapan Central Coast Mariners dan Pohang Steelers pada Februari 2025.
“Satu perlawanan yang sukar dengan kami bermain kurang satu pemain hampir 30 minit tetapi pemain tetap bermain dengan kompak walaupun sukar mengawal bola kerana kekurangan seorang pemain namun kami masih kompetitif dalam pertandingan ini.
“Saya berbangga dengan apa yang ditunjukkan oleh setiap pemain kerana JDT tetap bermain baik dan teratur serta mengikut arahan walaupun bermain dengan 10 pemain hingga pihak lawan sukar untuk melakukan serangan ke kubu kami walaupun mereka menguasai bola.
“Semua pasukan dalam kumpulan ini sangat sama rata dan kami perlukan enam mata dalam dua perlawanan terakhir untuk layak dan masih yakin mampu layak ke pusingan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih asal Argentina itu juga tidak mahu memberikan komen mengenai keputusan pengadil dari Arab Saudi yang melayangkan kad merah kepada dua pemainnya sebaliknya hanya mahu terus berkembang dan fokus kepada diri mereka sendiri.
“Walaupun kehilangan beberapa pemain selepas ini, kami mempunyai skuad yang bagus dan ada banyak pemain untuk menggantikan pemain-pemain ini dan ianya bukan masalah besar buat JDT.
“Saya tidak mahu bercerita mengenai pengadil kerana kami hanya perlu fokus kepada diri kami sahaja dan cuba menang dua perlawanan terakhir ini seterusnya layak sebagai lapan pasukan terbaik,” jelasnya.
JDT terlepas peluang meraih tiga mata di laman sendiri namun masih mampu mengekalkan ‘clean sheet’ buat kali ketiga berturut-turut dan kini menduduki tangga keenam dengan lapan mata selepas berakhir enam daripada lapan perlawanan peringkat liga Zon Timur.