BEKAS pemain kebangsaan, Sarjit Singh sah dilantik sebagai jurulatih baharu skuad hoki lelaki negara, dengan kontrak dua tahun menggantikan A Arulselvaraj.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan perlantikan itu selepas Mesyuarat Khas Pertamanya di Bukit Jalil.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, badan induk hoki negara itu, bersama barisan jawatankuasa kejurulatihan yang diketuai Datuk Majid Manjit Abdullah, sebulat suara bersetuju dengan pelantikan berkenaan.

Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan pelantikan Sarjit Singh sebagai ketua jurulatih hoki lelaki baharu di pejabat KHM, Bukit Jalil.

“Perlantikan Sarjit dipersetujui oleh semua jawatankuasa dengan semua ahli memberi input dan pandangan masing-masing sebelum KHM membuat keputusan memilih Sarjit.

“Pemilihan berdasarkan beberapa faktor dan saya yakin beliau mampu untuk kembali meletakkan pasukan negara pada tahap kompetitif dan lebih baik pada masa hadapan.

“KHM akan memberi kepercayaan dan sokongan penuh buat Sarjit mengendalikan skuad negara,” katanya.

Kebanyakan pemain senior tentunya tidak lagi berada dalam kitaran Olimpik Los Angeles 2028.

Bagaimanapun, Subahan menegaskan tiada sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) diletakkan kepada Sarjit buat masa ini.

“Kita perlu berikan beliau masa kerana kejayaan tidak akan berlaku dalam masa satu hari. MHC akan beri peluang untuk Sarjit membentangkan perancangan dan idea.

“Beri beliau ruang untuk selesaikan dulu apa yang patut terutama dalam urusan pemilihan pemain dan staf yang diperlukannya.

“Dalam masa dua tahun ini, keputusan akan dapat dilihat dan KHM percaya dia boleh membawa pemain ke peringkat lebih tinggi,” ujar Subahan lagi.

A Arulselvaraj antara calon disenarai pendek, sebelum KHM memutuskan pelantikan Sarjit Singh sebagai ketua jurulatih baharu skuad hoki kebangsaan lelaki.

Sarjit yang kini menjadi jurulatih pasukan negeri Johor, pernah menerajui pasukan kebangsaan dari Januari 2007 hingga Disember 2008.

Bekas pemain antarabangsa itu juga pernah melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Dalam pada itu, seramai 23 jurulatih, lima tempatan dan 18 asing,  memohon jawatan itu.

Seramai 11 ahli Jawatankuasa Kejurulatihan KHM menyenarai pendek empat calon untuk temu duga, iaitu Sarjit dan bekas jurulatih kebangsaan K Dharmaraj, Glenn Turner dari Australia dan Brendon Caralon dari Afrika Selatan.

Kedua-dua Caralon dan Turner adalah pembantu kepada bekas jurulatih kebangsaan Arul.

Speedy Tigers mempunyai tiga tugasan besar tahun ini, Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (4-11 Mei), Piala Negara-Negara di Gniezno, Poland (31 Mei- 9 Jun) dan Piala Juara-Juara Asia, Kota Hulunbuir, Mongolia Dalam (mulai 8-17 September).