MANCHESTER City telah mengesahkan ketibaan pemain pertahanan muda, Abdukodir Khusanov, dari kelab Perancis Lens dengan kontrak selama empat setengah tahun.

Pemain berusia 20 tahun itu menjadi pembelian pertama City pada jendela perpindahan Januari dan akan menyarung jersi bernombor 45 untuk kelab itu.

Perpindahan Khusanov melibatkan yuran bernilai sekitar RM193 juta dan beserta tambahan berdasarkan prestasi.

Dengan kehadirannya, Khusanov mencatat sejarah sebagai pemain Uzbekistan pertama yang akan beraksi di Liga Perdana Inggeris, menjadikannya simbol kebanggaan buat negaranya.

Selain itu, pemain muda itu juga turut berkongsi keterujaannya untuk menyertai City dalam satu kenyataan kepada media kelab tersebut.

“Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester City, sebuah kelab yang telah saya gemari selama ini. Skuad ini penuh dengan pemain-pemain terbaik dunia, dan saya tidak sabar untuk bertemu mereka serta bermain bersama.

“Pep Guardiola adalah salah satu jurulatih terhebat sepanjang zaman, dan saya sangat teruja untuk belajar daripadanya serta memperbaiki permainan saya.

“Ini adalah saat yang sangat membanggakan buat saya dan keluarga untuk menyertai sebuah kelab hebat seperti Manchester City, dan saya sudah bersedia menghadapi cabaran ini,” kata Khusanov yang dipetik daripada website rasmi Manchester City.

Pembelian Khusanov menjadi langkah awal City untuk menguatkan skuad mereka selepas separuh musim pertama 2024-25 yang mengecewakan.

Justeru, City dijangka membuat lebih banyak pembelian pada musim perpindahan kali ini, dengan penyerang Eintracht Frankfurt, Omar Marmoush, dilaporkan bakal menjadi pemain seterusnya menyertai City.

Manchester City akan berdepan jadual padat minggu ini, dengan pertembungan penting menentang PSG dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Khamis dan aksi menentang Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris pada Ahad.