PELUMBA trek wanita Nurul Alyssa Farid disifatkan sudah bersedia, untuk bersaing dengan pelumba senior di peringkat dunia.
Ini berikutan prestasi mengagumkan yang dipamernya dalam Siri Piala Presiden yang sedang berlangsung.
Atlet yang berada dalam skuad pelapis kebangsaan itu, meraih dua pingat dalam siri tersebut setakat ini, masing-masing gangsa pecut individu dalam Siri Pertama dan gangsa keirin dalam Siri Kedua.
Alyssa turut merakam rekod peribadi baharu acara pecut “flying” jarak 200 meter (m), kali pertama menamatkan perlumbaan di bawah 11 saat dengan catatan 10.953 saat.
Catatannya itu hanya kurang dua per sepuluh saat di belakang pelumba wanita terbaik negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Siri Piala Presiden, yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, merangkumi Siri Pertama (14-15 Januari), Siri Kedua (18-19 Januari), dan Siri Ketiga (22-23 Januari).

Nurul Alyssa berpotensi besar mengikut jejak Nurul Izzah Izzati.
Ketua jurulatih pasukan berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berkata, beliau akan berbincang dengan Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan, John Beasley, mengenai program Alyssa untuk tahun ini.
“Alyssa telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam Siri Piala Presiden, dan kami amat berpuas hati dengan kemajuannya,” kata Harnizam semalam.
Justeru, beliau mahu satu perancangan terbaik diatur, bukan sahaja demi kebaikan Alyssa malah masa depan sukan berbasikal negara.
“Saya akan berbincang dengan John selepas Siri Piala Presiden berakhir untuk merancang masa depan Alyssa.
“Ada kemungkinan kami akan menaikkannya ke skuad senior tahun ini, dan kami mungkin juga menyenaraikannya dalam Piala Negara UCI musim ini.
“Namun, tiada apa-apa yang telah dimuktamadkan lagi kerana terdapat banyak perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu.”

Kini Nurul Izzah Izzati mempunyai pesaing baharu, iaitu pelapis berusia 19 tahun, Nurul Alyssa.
Piala Negara UCI, yang dahulunya dikenali sebagai Siri Piala Dunia, akan berlangsung di Konya, Turki, pada 14 Mac.
Namun, Kejohanan Asia akan diadakan terlebih dahulu pada 21-27 Februari di Velodrom Nasional Nilai.
Alyssa dijangka mendapat tempat dalam acara pecut berpasukan wanita untuk Kejohanan Asia, tetapi mungkin juga dipertimbangkan untuk acara keirin dan pecut individu.
Prestasi cemerlang pelumba berusia 19 tahun ini hadir pada masa yang tepat, berikutan Aliana Azizan masih dalam proses pemulihan daripada gegaran otak dan tulang rusuk retak yang dialami dalam kemalangan Oktober lalu, manakala Anis Amira Rosidi bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi dan mungkin mengambil cuti pendek.
Anis dan Aliana, bersama dengan Izzah, telah menjadi pelumba utama dalam pasukan senior sepanjang beberapa musim yang lalu.