LEBIH 4,000 kanak-kanak bakal mencipta sejarah apabila acara kemuncak Kidslympic Malaysia 2025 dan Grand Finale Larian Kidslympic Malaysia berlangsung di Presint Merdeka 118 pada 12 Oktober depan, bersempena sambutan Hari Sukan Negara.
Mengangkat tema “Dari Taman Permainan ke Podium”, edisi kali ini bukan sekadar pesta larian, sebaliknya satu gerakan nasional yang menyatukan kanak-kanak, ibu bapa, sekolah dan komuniti dalam usaha memupuk gaya hidup sihat serta semangat perpaduan melalui sukan.
Sebelum menuju pentas akhir, siri jelajah Larian Kidslympic Malaysia telah singgah di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Selangor, dengan ribuan penyertaan yang membuktikan sambutan luar biasa terhadap gagasan sukan kanak-kanak terbesar negara.
Grand Finale nanti bakal lebih istimewa apabila ribuan pelari cilik beraksi di perkarangan menara tertinggi Malaysia, Merdeka 118, sekali gus menjadikan acara ini sebagai mercu tanda baharu dalam pembangunan sukan belia negara.
Peserta berusia antara 4 hingga 12 tahun akan diuji dalam kategori Bawah 7 Tahun dan Bawah 12 Tahun, dengan sorakan gemuruh daripada ibu bapa, guru serta penyokong yang hadir membakar semangat mereka di garisan penamat.
Selain cabaran larian, Temasya Kidslympic Malaysia turut menampilkan pelbagai disiplin sukan seperti olahraga, bola sepak, bola keranjang 3×3, bola tampar, gimnastik dan perlumbaan halangan — medan terbaik untuk kanak-kanak menyerlah bakat, membina keyakinan dan menyemai impian bergelar juara masa depan.
Penganjuran ini sekali lagi mengukuhkan misi Kidslympic Malaysia sebagai platform sukan kanak-kanak terbesar yang bukan sahaja melahirkan atlet, tetapi juga generasi muda yang berjiwa Malaysia.