PASUKAN Iran mencatat kemenangan kedua dalam kelayakan Piala Asia Futsal 2026, setelah membenam Emiriah Arab Bersatu 10-0 dalam aksi di Stadium Tertutup Sukpa pada Isnin.
Jelas, gergasi futsal Asia itu bukan tandingan UAE yang berada di ranking ke-103 dunia dan tampak terlalu ampuh untuk disaingi.
Berjaya meraih enam mata maksimum dalam dua perlawanan, pengendali Iran, Vahid Shamsaee enggan mendabik dada sebaliknya terus menetapkan fokus kepada aksi terakhir Kumpulan G, menentang Malaysia.

“Pemain lakukan apa yang perlu untuk memastikan kemenangan. Kita lupakan perlawanan yang sudah berlalu, sekarang perlu fikir tentang perlawanan seterusnya.
“Kami akan luangkan masa menonton Malaysia lawan Bangladesh, mereka ada sokongan penyokong sendiri. Secara jujur, Malaysia ada peluang untuk layak. Kita hormati mereka sepertimana lawan yang lain,” kata Vahid.
Di sebalik prestasi memuncak pasukannya, Vahid menyatakan kegusaran tentang permukaan gelanggang SUKPA yang menurutnya mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan.
“Saya sudah katakan sebelum ini selepas game Bangladesh. Kita bernasib baik dapat elak kecederaan tempoh hari, tetapi hari ini seorang pemain saya mengalami kecederaan.
“Saya tidak pernah bermain di court seperti ini sebelum ini, malahan pengendali UAE (Roberto) juga bersetuju dengan saya. Saya tidak tahu bagaimana ia diluluskan tetapi kami menghormati peraturan dan keputusan AFC.”
Dalam pada itu, Ricardo Camara Sobral menganggap Iran dalam kelas tersendiri sambil mengakui pasukannya dihukum dek kesilapan sendiri.
“Enam daripada gol Iran adalah kesilapan kami sendiri, ia tidak sepatutnya berlaku. Inilah jurang yang membezakan pasukan hebat seperti Iran dan pasukan kami yang masih belajar dan menapak, ini satu pengalaman,” menurut Roberto.
Pada perlawanan itu, Masoud Shavardazi menjaringkan hatrik, Behrooz Azimihematabadi menyumbang dua gol manakala Mahdi Rostami, Mahdi Karimi, Hossein Tayebibidgoli, Amirhossein, Ali Khalil Somehsofla masing-masing satu gol.
Kemenangan pada aksi terakhir akan mengesahkan kedudukan Iran sebagai juara kumpulan dan layak secara automatik ke Piala Asia 2026.
SUMBER:MUHAMMAD AIMAN