MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan isu ganjaran yang membabitkan jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou perlu dijadikan pengajaran dengan mencontohi pendekatan Jawatankuasa Road to Gold (RTG).
Beliau berkata, RTG telah mewajibkan setiap tawaran ganjaran daripada penaja atau syarikat kepada atlet untuk ditandatangani dalam bentuk kontrak sebelum temasya berlangsung.

“Kalau ada janji, kita tunaikan janji, kalau tak dapat tunaikan, kita nyatakan kenapa, sebab itu RTG pastikan semuanya bertulis sebelum atlet berlepas,” kata Hannah, ketika menghadiri Konvokesyen ke-20, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), di Bangi.
Isu ini tercetus selepas Liek Hou memuat naik hantaran di Insta Story menuntut janji ganjaran yang dikatakan dibuat sebelum beliau beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Cheah Liek Hou menyumbang 2 emas dari dua Temasya Paralimpik.
MPM kemudian mengadakan sidang media khas dengan memberi amaran tindakan undang-undang termasuk surat tunjuk sebab dan kemungkinan penggantungan terhadap Liek Hou, yang didakwa memburukkan reputasi badan itu, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Kes Liek Hou ini pada dasarnya isu ganjaran, tetapi apabila MPM beri respons sampai keluar kenyataan ‘show cause’ dan nak ban, rakyat Malaysia jadi marah kerana mereka mahu atlet dilayan dengan baik,” kata Hannah.
Artikel berkaitan:
Pingat dah bagi, mana janji habuan
Cheah Liek Hou bakal di “ban” sertai temasya para – MPM
Presiden MPM Nafi Pernah Janji Insentif RM60,000
Liek Hou mangsa kelewatan MPM – Hannah
Komen hanya selepas terima surat tunjuk sebab – Liek Hou
Beliau menegaskan kemarahan orang ramai wajar didengar kerana atlet seperti Liek Hou sudah mengharumkan nama negara, justeru tidak wajar berdepan tindakan hanya kerana menuntut janji yang pernah dibuat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meraikan gradian ILKBS.
“Saya percaya MPM tidak akan melaksanakan tindakan untuk ban Liek Hou, dan kalau mereka bertindak begitu, KBS memang tidak akan menyokong kerana ini bukan isu disiplin atau kesalahan jenayah.
“Saya minta MPM selepas ini, boleh dapatkan contoh kontrak daripada RTG, kita memang tandatangan dengan sesiapa yang tawar ganjaran supaya tidak ada isu seperti ini,” jelasnya lagi.