Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon, berkata corak permainan intensif Terengganu FC memberikan cabaran besar kepada pasukannya sebelum perlawanan Liga Super itu berakhir dengan keputusan seri 1-1, malam tadi.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu mengakui aksi agresif pasukan tuan rumah hampir menghukum Selangor selepas Terengganu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Careca, sebelum kapten Selangor, Faisal Halim, muncul penyelamat dengan gol penyamaan.

“Terengganu bermula dengan lebih baik. Mereka amat kuat dalam perebutan bola dan mendominasi permainan terutama pada separuh masa pertama,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan.

Menurut Pan-gon, barisan pemain Selangor pula memulakan perlawanan dengan agak perlahan dan bergelut untuk mendapatkan rentak permainan, sekali gus menyukarkan pasukannya mengawal tempo perlawanan pada awal aksi.

Kapten pasukan Selangor FC, Faisal Halim meraikan jaringan selepas menjaringkan gol penyamaan buat The Red Giants. (Sumber Gambar: Selangor FC)

“Pemain kami tidak berada pada prestasi terbaik pada awal permainan dan itu menyukarkan kami untuk menguasai perlawanan,” jelas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.

Bagaimanapun, perubahan taktikal yang dilakukan pada separuh masa kedua memberi impak positif apabila Selangor tampil lebih tersusun dan agresif, sekali gus berjaya mengimbangi tekanan pasukan tuan rumah.

“Perubahan pada babak kedua membantu kami bangkit dan menyamakan kedudukan. Saya bangga dengan usaha berterusan yang ditunjukkan pemain,” katanya.

Dalam masa sama, Pan-gon mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki, khususnya dari segi konsistensi permainan, penguasaan bola serta ketajaman di jentera serangan menjelang jadual perlawanan yang padat bulan ini.

“Saya percaya pemain mampu menunjukkan peningkatan berdasarkan aksi separuh masa kedua yang lebih agresif dan tersusun,” tambahnya.