Malaysian Football League (MFL) menggesa semua kelab Liga Malaysia agar lebih proaktif memantau dan mengawal tingkah laku penyokong masing-masing susulan insiden membabitkan penyokong Selangor FC ketika aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.
Seruan itu dibuat selepas berlakunya insiden melibatkan kumpulan penyokong tegar Selangor FC, dikenali sebagai Ultras Selangor (UltraSel), yang dilaporkan berlaku sebelum perlawanan berlangsung.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada petang Ahad apabila kumpulan penyokong tersebut mengadakan perarakan di atas Jambatan Angkat (drawbridge) Kuala Terengganu, sekali gus mencetuskan gangguan terhadap ketenteraman awam serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar.
Dalam satu kenyataan rasmi, MFL menegaskan badan pengelola liga itu menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk tingkah laku negatif dan tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir penyokong bola sepak tempatan.
“Malaysian Football League (MFL) menolak sekeras-kerasnya sebarang unsur negatif dan tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir penyokong bola sepak tempatan,” menurut kenyataan itu.
MFL turut menyeru semua kelab agar memainkan peranan lebih aktif dalam memantau serta mengawal pergerakan dan perlakuan penyokong masing-masing bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Susulan satu insiden yang berlaku di Terengganu, MFL menyeru agar semua kelab dapat memantau serta mengawal tingkah laku penyokong masing-masing supaya tidak mencetuskan sebarang gangguan terhadap ketenteraman dan keselamatan awam,” tambah kenyataan itu.
Menurut MFL, sikap dan perlakuan tidak bertanggungjawab oleh segelintir penyokong bukan sahaja mencemarkan imej liga tempatan, malah bertentangan dengan nilai sebenar bola sepak sebagai platform perpaduan dan semangat kesukanan dalam masyarakat.