PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berpuas hati dengan kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium MBPJ pada Sabtu.

Namun, beliau menegaskan bahawa pasukan masih perlu bekerja lebih keras bagi memastikan tempat kedua liga dan juga untuk muncul juara dalam MFL Challenge Cup.

“Ya, keputusan 2-0 ini adalah baik. Jika anda ingat, pada bulan Disember lalu, kita tewas kepada mereka 2-1.

“Hari ini kita menang, tetapi separuh masa kedua kita gagal menambah jaringan. Oleh itu, kita mesti terus maju dan meningkatkan prestasi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Menurut Kinoshi, Selangor FC kini berada dalam keadaan lebih baik berbanding pertemuan terakhir dengan Sri Pahang, namun tidak boleh terlalu yakin kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

“Kali terakhir mereka lebih kuat daripada kita, tetapi kali ini kita lebih kuat daripada mereka. Namun, masa depan tiada siapa yang tahu, jadi kita mesti terus bekerja keras untuk mengekalkan atau meningkatkan prestasi hari ini,” ujarnya.

Kinoshi juga menekankan kepentingan latihan yang berterusan serta analisis perlawanan bagi memastikan pasukan dapat memperbaiki kelemahan dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.

FOTO : SELANGOR FC