KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon tetap menuntut lebih banyak daripada anak buahnya walaupun pasukan itu melakar kemenangan bergaya 5-1 ke atas Negeri Sembilan FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia untuk mara dengan agregat 6-1.
Pengendali berpengalaman itu mengakui kemenangan besar di laman sendiri menggembirakan, namun menegaskan standard sebenar pasukannya masih belum berada pada tahap yang diinginkan.
Menurut Kim, gol awal seawal minit kedua yang dijaringkan Faisal Halim menjadi elemen penting dalam membolehkan Selangor mengawal perlawanan serta mendominasi rentak permainan.
“Gol awal sangat penting untuk kami membina budaya dan DNA pasukan. Apabila dapat jaringan awal, kami boleh mengurus permainan dengan lebih baik.
“Kalau tidak, ia mungkin jadi sukar seperti perlawanan pertama di Paroi. Saya harap pemain dapat merasai kepentingan situasi seperti ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pan Gon menjelaskan banyak perkara cuba diperbaiki selepas aksi pertama dan dia melihat reaksi positif dipamerkan pemain sepanjang minggu latihan sebelum pertemuan timbal balik itu.
Bagaimanapun, Pan Gon masih belum berpuas hati sepenuhnya kerana merasakan Selangor sepatutnya mampu menghasilkan lebih banyak gol daripada peluang yang dicipta.
“Masih banyak perlu diperbaiki. Tahap kami belum cukup tinggi, jadi kami perlu merendah diri dan bekerja kuat langkah demi langkah.
“Jika semua peluang disudahkan, mungkin jumlah gol boleh jadi lebih daripada lima,” katanya.
Pada masa sama, pengendali asal Korea Selatan itu memuji komitmen pemain yang disifatkannya cukup profesional selain menunjukkan persiapan rapi sehingga beliau sudah menjangkakan satu persembahan baik bakal dipamerkan.
Mengulas sama ada beliau menjangka kemenangan besar itu, Kim menegaskan dalam bola sepak tiada perlawanan mudah dan pasukan tidak boleh terlalu cepat berasa selesa.
“Kita perlu sentiasa merendah diri. Ada banyak perlawanan sukar yang ditentukan pada minit akhir.
“Lima gol memang bagus, tetapi kalau boleh kita mahu tambah lagi untuk menggembirakan penyokong,” katanya.