PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui dia gembira dengan komitmen yang ditunjukkan para pemainnya dengan membalas kepercayaan yang diberikan ketika menewaskan Kuala Lumpur Rovers 0-3 dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim.

Hector menurunkan barisan pemain kedua dengan empat muka baharu diberikan debut yang dianggap beraksi dengab baik serta memberikan peluang buat pemain-pemain yang kurang beraksi untuk melengkapkan kesebelasan utama.

“Ianya satu keputusan yang baik dan jelas kami masih perlu memperbaiki beberapa perkara kerana dalam perlawanan ini, kami seharusnya meletakkan lebih tekanan serta bermain lebih dinamik kerana kami mengawal bola dalam kawasan lawan dan lmasalah ini perlu diatasi pada perlawanan kedua nanti.

Hector gembira kesemua pemainnya bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa

“Saya sentiasa percaya kepada semua pemain yang ada dalam skuad namun ada beberapa pemain yang mengalami sedikit kesukaran kerana tidak mempunyai minit permainan yang banyak tetapi mereka tetap berikan 100 peratus terutama dengan keadaan perlawanan dan lawan yang sukar.

“Ya saya gembira dengan aksi tiga pemain muda yang diturunkan kerana bukan mudah untuk bermain di pasukan utama yang mempunyai perbezaan dari segi dinamik dan intensiti dalam perlawanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih asal Argentina itu juga tidak mahu memikirkan dahulu tentang peluang layak ke peringkat seterusnya kerana sedar perjalanan mereka masih panjang dan mahu semua pemain mengekalkan fokus dalam setiap perlawanan.

Alif Mutalib diberikan debut bersama-sama skuad senior JDT

“Meskipun mendahului 3-0, namun kami belum memikirkan tentang peringkat seterusnya atau kejuaraan kerana kami perlu fokus pada satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

“Masih banyak perlawanan perlu dilalui dalam Liga Juara-Juara AFC Elite serta Liga Super dan kami perlu menang setiap perlawanan kerana bagi kami, semua perlawanan adalah penting dan sukar dan kami perlu sentiasa serius,” jelasnya.

Jaringan hatrik Heberty Fernandes memberikan kemenangan selesa buat Harimau Selatan dan kini fokus mereka mula tertumpu kepada aksi kelima Liga Juara-Juara AFC Elite menentang Shandong Taishan pada 26 November di laman lawan.