KESETIAAN tidak berbelah bahagi penyokong Kuching City FC terus dihargai apabila boleh menyaksikan perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iswandi Ali Hassan berkata, ini merupakan hadiah istimewa buat semua penyokong Kuching City FC.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan prestasi pasukan pada musim ini dalam kempen Liga Premier, Piala FA dan yang terbaru Piala Malaysia. Kita telah mencipta sejarah kelab dalam ketiga-tiga kejohanan tersebut.
Layak ke Liga Super 2023 secara merit merupakan sasaran kita pada musim ini.

“Kita juga telah berjaya lolos hingga ke suku akhir untuk saingan Piala FA 2022.

“Terima kasih kerana setia memberi sokongan kepada Kuching City FC,” katanya.

The Cats membuat penampilan sulung di pentas suku akhir Piala Malaysia 2022 selepas menyingkirkan cabaran Penang FC di Pusingan 16.