Kredit Foto: FAM
PENGENDALI pasukan wanita kebangsaan, Soleen Al Zoubi tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila skuad Malayan Tigress berjaya mencatat dua keputusan positif dalam perlawanan antarabangsa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Malayan Tigress berjaya mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Arab Saudi sebelum bangkit menewaskan Laos 3-1 sebagai persediaan untuk menghadapi Kejohanan AFF dari 23 November hingga 5 Disember 2024 di Laos.
Soleen melakukan pembaharuan dalam pemilihan pemain dengan mengenepikan beberapa nama besar dan memanggil muka-muka baharu kesan dari Liga Wanita Nasional (LWN) ke Dubai dan hasilnya sangat memberangsangkan.
“Saya gembira bukan kerana kemenangan tetapi gembira dari segi persembahan dan corak permainan taktikal yang dipamerkan, gembira dengan semua 22 pemain dan gembira dengan pemain-pemain baharu kerana kita berjaya mencapai objektif dan bersedia untuk ujian seterusnya selepas ini.
“Untuk Piala AFF, apa yang penting buat saya adalah mencuba seberapa banyak pemain yang boleh di mana mereka layak mewakili negara. Saya kini mendapat gambaran lebih besar mengenai skuad yang akan dibawa ke Laos.
“Selepas mendapat kemenangan dengan Laos yang berkedudukan ranking lebih tinggi, kita perlu bekerja lebih keras kerana mempunyai tanggungjawab besar untuk bermain lebih baik bagi memenangi kesemua perlawanan di Piala AFF nanti,” katanya dalam video yang dikongsi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Malaysia diundi dalam Kumpulan B Piala AFF bersama-sama Kemboja dan Indonesia dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir untuk merebut tiga tempat ke Kejuaraan Wanita Asean 2025.