KUALA Lumpur City FC (KLCFC) yang baru-baru ini meraikan pencapaian cemerlang sebagai pasukan kedua terbaik Asia dalam Piala AFC telah menjalin hubungan strategik bersama Persija Jaya Jakarta (Persija).
Jalinan kerjasama ini menumpukan satu matlamat yang sama iaitu bagi memajukan pembangunan bola sepak dan hubungan saksama antara Kuala Lumpur dan Jakarta.
Pemilik KL City FC, Azri Azerai menegaskan bahawa komitmen tersebut dalam memajukan pembangunan bola sepak serta perhubungan antarabangsa perlu diambil berat.
“Saya menganggap KLCFC sebagai satu bintang dalam dunia sukan dan kerjasama ini akan menjadi platform bagi menonjolkan bakat muda dari kedua-dua negara ini.

“Dalam usaha ini, KLCFC dan Persija akan bekerjasama dalam program latihan berterusan di Indonesia dan Malaysia, sekaligus memudahkan lawatan antara kedua-dua pasukan,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada media.
Selain itu, kerjasama yang terjalin ini juga bertujuan untuk mengukuhkan hubungan budaya dan sukan antara Kuala Lumpur dan Jakarta melalui bola sepak dimana ia turut mempromosikan persefahaman dan hubungan baik antara kedua-dua bandar serta mendorong persaudaraan di kalangan penyokong, pemain, dan pegawai.

Foto: Kuala Lumpur City FC
Bagi memastikan kelestarian dalam perhubungan ini, Azri mengesahkan bahawa wakil dari KLCFC dan Persija akan bertemu sekurang-kurangnya sekali setahun untuk menilai kemajuan kerjasama mereka dan menerokai peluang-peluang yang ada untuk terus berkembang.
Secara tidak langsung, kerjasama ini mencerminkan lebih daripada sekadar aspek bola sepak kerana ia mewakili jambatan yang menghubungkan dua bandar iaitu Kuala Lumpur dan Jakarta melalui minat bersama terhadap sukan bola sepak.