INSIDEN memalukan tercetus dalam perlawanan Liga Bawah 16 Suparimau antara Villarreal Malaysia U16 Senna dan Black Hunter FC pada Sabtu lalu apabila perlawanan yang sepatutnya menjadi pentas pembangunan bakat muda bertukar menjadi pentas keganasan. Kekecohan yang berpunca daripada aksi kasar bertukar menjadi rusuhan besar sehingga menyebabkan kecederaan kepada beberapa pemain dan jurulatih Villarreal Malaysia.
Perlawanan yang berlangsung di Eco Ardence Arena menyaksikan Villarreal mendahului 2-0 sebelum permainan mula dicemari aksi keras daripada pemain Black Hunter. Lebih membimbangkan, jurulatih lawan dikatakan memberi arahan agresif menggunakan perkataan “Adi” dalam bahasa Tamil, yang membawa maksud ‘pukul’, seolah-olah menggalakkan kekerasan. Aksi semakin panas apabila pemain Villarreal, Ian, terlibat dalam satu pertembungan tidak sengaja dengan pegawai lawan, sebelum situasi bertukar tegang dengan campur tangan pihak bangku simpanan kedua-dua pasukan.
Dalam kekecohan yang memuncak, enam pemain Villarreal menjadi mangsa serangan fizikal—ditumbuk, disiku dan ditendang bukan sahaja oleh pemain Black Hunter, malah oleh jurulatih dan ibu bapa pihak lawan. Lebih mengejutkan, jurulatih Villarreal, Hossein, turut dipukul oleh beberapa pegawai Black Hunter sehingga bajunya koyak dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.
Pengarah Villarreal Malaysia, Jonathan, yang mengikuti insiden ini dari jauh, mengesahkan beberapa tindakan tegas telah diambil. Laporan polis telah dibuat, Black Hunter FC dikeluarkan serta-merta daripada liga oleh penganjur Suparimau, dan jurulatih mereka ditahan semalaman di IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut. Malah, permohonan maaf secara terbuka telah dibuat oleh pihak lawan, namun Villarreal kini sedang menjalankan siasatan dalaman sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan laporan polis tersebut.
Dalam kenyataan rasmi Jonathan, beliau menggesa semua pihak untuk tidak menyebarkan spekulasi dan memberi keutamaan kepada keselamatan pemain serta integriti bola sepak akar umbi. “Kita mahu keputusan terbaik demi keluarga, jurulatih dan kelab kita. Bola sepak seharusnya jadi tempat mendidik, bukan melahirkan keganasan,” katanya.

Insiden ini memberi tamparan hebat kepada ekosistem bola sepak remaja di Malaysia. Soalnya kini, mampukah pihak berkaitan, termasuk FAM, menggunakan insiden ini sebagai titik tolak memperketatkan kawalan disiplin dan keselamatan dalam kejohanan remaja agar peristiwa seperti ini tidak berulang?