SUSULAN pengesahan dibuat pengurusan Terengganu FC yang menyatakan jurulatih, Mohd Nafuzi Muhammad Zain menolak tawaran untuk terus mengemudi Sang Penyu musim hadapan, spekulasi bertiup kencang berhubung rentak permainan yang bakal ditampilkan ketika menentang Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini.

Bagi arkitek tengah Terengganu FC, Habib Haroon Haroon Saeed menegaskan isu melanda kem Terengganu langsung tidak akan memberi kesan terhadap rentak permainan pasukan malam ini.

Jelas Habib, ia umpama sedikit perselisihan serta salah faham antara anak dan juga seorang ibu dimana ianya adalah normal dalam sebuah keluarga.

“Isu tersebut tidak akan mengganggu pasukan atau sesiapa dalam pasukan. Ia adalah seperti masalah dalam keluarga. Itu adalah masalah antara jurulatih dan pengurusan, tidak ada mengaitkan pemain.

“Nafuzi hanya beritahu kami untuk fokus kepada perlawanan. Jadi, ia tidak menjejaskan prestasi kami. Kami akan turun untuk menang.

“Ada sedikit isu yang saya rasakan akan mereka selesaikan dengan baik. Anda tahu kadang-kadang ibu anda juga tidak berpuas hati dengan anda, jadi ia normal,” katanya kepada FLASH SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN:

Nafuzi sah tolak, TFC ada terima ‘proposal’ jurulatih asing dan tempatan

Pemain dari Bahrain itu menjelaskan fokusnya adalah hanya terhadap mencari kemenangan dalam perlawanan menentang Selangor malam ini.

Selain itu, Habib juga enggan mengguris perasaan jurulatihnya dengan  bertanya punca sebenar kemelut yang menyebabkan Nafuzi enggan menerima lanjutan kontrak dari pengurusan Terengganu FC.

“Kita tiada masa untuk berbincang tentang perkara ini. Ia adalah isu antara dia dan pengurusan. Kita hanya fokus kepada perlawanan. Jadual yang padat selepas tiga hari perlawanan, penuh dengan perlawanan.

“Selepas musim berakhir mungkin kita boleh bercakap mengenai perkara ini. Saya harus menjaga perasaannya sebagai jurulatih. Kami tidak mahu apa -apa perkara mengganggu persiapan kami malam ini,” jelasnya.