TERENGGANU FC berjaya melonjak dua anak tangga ke kedudukan kedua Liga Super setelah menundukkan pasukan tuan rumah, KL City FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung rancak di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Taktikal Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohd Zain jelas membuahkan hasil apabila arkitek tengah, Manuel Gelito Ott berjaya meletakkan Sang Penyu di hadapan pada minit ke-38.
Pada masa kecederaan, penyerang sensasi Terengganu FC, Tchetche Hermann Brice Kipre menggandakan kedudukan 2-0 menuju wisel penamat.
Aksi separuh masa kedua terus dikuasai Terengganu FC dengan Tchetche Kipre sekali lagi berjaya meloloskan diri dari perangkap ofsaid tuan rumah namun berjaya ditepis keluar penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza Hansen pada minit ke-57.
Enggan mengalah, Kuala Lumpur City FC terus mengasak kubu lawan dan nyata usaha keras tersebut membuahkan hasil menerusi ‘glancing header’ yang ditanduk kemas Romel Oswaldo Morales Ramirez pada minit ke-63.
Kemasukan Mohd Faiz Mohd Nasir pada awal babak kedua membantu Terengganu FC membuat larian pantas di bahagian sayap kanan sekaligus memaksa pertahanan Kuala Lumpur City FC memerah keringat membantah asakan lawan.
Tandukan tipis Romel Morales pada minit ke 81 sekali lagi hampir menggegar gawang Terengganu FC namu sedikit tersasar di sudut kiri pintu gol pelawat.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Terengganu gah melonjak ke tangga kedua liga manakala KL City FC menghuni tangga keenam liga.