TONGGAK Kuching City FC, Petrus Shitembi sedar sedikit kesilapan sudah mampu meranapkan harapan pasukan untuk menempah slot ke Asia dalam aksi terakhir Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC, Ahad ini.
Hanya dibezakan satu mata sahaja dengan Selangor FC yang kini di tangga ketiga selepas 23 perlawanan menyaksikan perebutan bergelar naib juara Liga Super yang cukup sengit bakal berlaku pada minggu ini.
Shitembi tidak menolak tekanan yang tinggi dirasai pasukannya apatah lagi mereka wajib menang untuk aksi ini selain perlu berharap Selangor FC meraih keputusan sebaliknya menentang PDRM FC untuk memastikan slot ke Asia menjadi milik skuad The Cats.
Justeru, pemain import dari Namibia ini sedar mereka harus waspada setiap gerakan KL City dan perlu bijak ambil peluang untuk mencipta seberapa banyak jaringan dalam tempoh 90 minit.
“Itu sememangnya menjadi objektif dan sasaran kami sepanjang musim ini (tempat kedua liga) dan saya rasa kami telah melakukannya dengan sangat baik setakat ini.
“Jadi, apa yang penting sekarang adalah kami terus fokus, bekerja keras dan memberikan sepenuh komitmen bagi mendapatkan keputusan yang diharapkan sekali gus mencapai sasaran pasukan.
“Ia akan menjadi satu pencapaian besar dan bersejarah buat kami jika layak ke Asia, jadi semuanya berada dalam tangan kami dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah terus berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan”, katanya.
Namun, selaku finalis Piala Malaysia, tanggungjawab setiap pemain juga penting untuk memastikan mereka dapat mengelak sebarang kecederaan pada saat akhir agar tidak merencatkan perancangan menjelang aksi final pada 23 Mei ini.
“Saya tidak terlalu bimbang mengenai tahap keyakinan kerana kami telah menunjukkan sikap yang sangat baik dan profesional sepanjang musim ini.
“Tapi sudah tentu sangat penting juga untuk kami mengelakkan sebarang kecederaan dalam perlawanan terakhir liga ini apatah lagi ianya sangat hampir dengan aksi final.
“Dan kita pun tidak mahu beri masalah kepada perancangan jurulatih yang inginkan semua pemain cergas dan bersedia untuk diturunkan bila-bila masa pada 23 Mei ini”, tambahnya.
Kuching City FC kini cemerlang di tangga kedua Liga Super selepas kini mengumpul 50 mata diikuti Selangor FC di kedudukan ketiga dengan 49 mata di mana mengikut format kelayakan ketika ini, naib juara Liga Super berpeluang beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) musim hadapan.