PASUKAN KL City terus membuktikan kredibiliti mereka sebagai pencabar utama Liga Super apabila melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Brunei DPMM di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, pada Isnin.
Biarpun beraksi di gelanggang lawan, The City Boys. itu tidak menunjukkan sebarang gugup sebaliknya tampil garang sejak awal permainan dengan menguji kubu tuan rumah. Brunei DPMM yang menurunkan kapten berpengalaman, Azwan Ali Rahman serta penyerang import, Ramadhan Sananta cuba bertahan rapi dan menangkis serangan bertali arus pelawat sepanjang 20 minit pertama.
Namun, kesilapan sendiri menjadi punca kebuntuan akhirnya terlerai apabila Yura Indera tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-25 untuk menghadiahkan gol pendahuluan buat KL City.
Jaringan itu jelas mengubah rentak permainan apabila Brunei DPMM mula meningkatkan intensiti bagi memburu gol penyamaan, tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, KL City tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan apabila pemain tengah, Victor Ruiz meledak gol kedua pada minit ke-55 hasil kerjasama cantik bersama Syamer Kutty Abba. Lima minit kemudian, Ruiz hampir menambah koleksi jaringannya namun rembatan kencang pemain itu sedikit tersasar.
Derita tuan rumah semakin berganda apabila Safawi Rasid, yang dibawa masuk bagi menambah sengat, menyumbang dua gol pantas pada minit ke-64 dan 84 sekali gus menutup terus ruang kebangkitan Brunei DPMM.
Sorakan penyokong tuan rumah kian hambar tatkala wisel penamat ditiup dengan KL City membawa pulang tiga mata berharga menerusi kemenangan 4-0 yang cukup meyakinkan. Keputusan itu turut melonjakkan The City Boys ke tangga kedua carta Liga Super, sekali gus menegaskan misi mereka untuk kekal bersaing rapat dalam perebutan kejuaraan musim ini.