PASUKAN  menepati ramalan namun dikerah bekerja keras sebelum melakar kemenangan penting 7-1 ke atas Bangladesh dalam aksi kelayakan Piala Asia 2026 di Stadium Tertutup SUKPA pada Isnin.

Skuad negara yang menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pembukaan, berada di depan pada minit ketujuh, menerusi Awalluddin Mohd Nawi.

Begitupun kelebihan itu bertahan tidak sampai seminit, apabila Bangladesh bermain powerplay dan menyamakan kedudukan menerusi Fayed Azim.

Malah skuad kendalian Saeid Khodarahmi itu yang bermain ultra defensif ketika tewas 0-12 kepada Iran, kali ini tampil dengan permainan terbuka dan lebih banyak mencemaskan pintu gol Harimau Malaya.

Penjaga gol mereka Jahid Hasan Rabbi juga cemerlang, menafikan deretan peluang skuad negara menerusi Ridzwan Bakri, Harith Naim, Khairul Effendy dan Syahir Iqbal Khan.

Kekentalan pertahanan Bangladesh bagaimanapun roboh pada minit ke-16 menerusi Daniel Dain sebelum jaringan Mahadir Harahap dua minit kemudian memastikan perlawanan memihak Harimau Malaya 3-1 di separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia mengekalkan penguasaan dan berjaya menambah empat lagi jaringan menerusi Mahadir, Syahir Iqbal, Saad Sani dan Faris Johan.

Kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan G membolehkan skuad Rakphol Sainetngam mengumpul enam mata, menduduki tangga kedua Kumpulan G dengan beza jaringan di belakang Iran.

Malaysia akan menentang Iran dalam aksi terakhir kumpulan pada Rabu, dengan pemenang akan muncul juara kumpulan dan layak ke Piala Asia 2026.

Naib juara pula perlu menunggu sehingga tamat semua perlawanan peringkat kumpulan, sebelum tujuh naib juara terbaik mengesahkan tempat di pusingan akhir.