SKUAD hoki 5 sebelah negara hadir ke Sukan SEA Thailand 2025 dengan keyakinan tinggi bahawa emas sulung acara berkenaan mampu menjadi milik Malaysia, seiring reputasi kukuh yang dibina di pentas dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Keyakinan itu disuarakan Pengurus Pasukan Hoki 5s, Hasnizam Hassan, yang melihat pengalaman luas skuad lelaki termasuk pencapaian selaku naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Oman sebagai asas kukuh untuk memburu podium tertinggi di Bangkok.
“Berdasarkan kejayaan sebelum ini, termasuk pemain yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Remaja 2013 dan Piala Dunia 2024, saya percaya kita mempunyai peluang besar untuk muncul juara,” katanya pada pengumuman rasmi skuad lelaki dan wanita, Jumaat lalu.
Tumpuan sudah tentu terarah kepada Akhimullah Anuar Esook, ikon hoki 5s negara yang akan mengetuai barisan pemain berpengalaman seperti Adrian Albert, Mohamad Akmal Yussaini, Muhammad Arif Syafie Ishak, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Syarman Mat Tee, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Muhibuddin Moharam dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini satu kombinasi yang dianggap paling stabil dan kompetitif pernah dibawa ke temasya serantau.
Bagi skuad wanita, fokus mereka jelas meraih sekurang-kurangnya pingat perak, dengan tiga pemain Piala Dunia 5s 2024, Nurul Safiqah Mat Isa, Dian Nursyakira Najwa Al Qadqa Nazeri dan Nur Shafika Ahmad Kamal mengetuai cabaran negara. Pengalaman trio itu dijangka menjadi penggerak utama kepada pasukan muda yang dibentuk khusus untuk temasya kali ini.
Acara hoki 5s akan dipertandingkan buat pertama kali di Sukan SEA, menjadikan peluang Malaysia untuk mencipta sejarah sangat terbuka dan buat kedua-dua pasukan, misi mereka adalah pulang dengan pingat serta membuktikan Malaysia kekal antara kuasa besar hoki versi moden ini.
TAMAT