PELARI pecut negara, Shereen Samson Vallabouy, membuat keputusan berat menarik diri daripada Sukan SEA Thailand, bimbang kecederaan hamstringnya bertambah serius jika turun beraksi.
Shereen mengesahkan penarikan diri itu dibuat selepas mendapati kecederaan hamstring masih belum pulih sepenuhnya dan berisiko tinggi untuk kembali cedera, sekali gus menggugat musim penting 2026 yang mempunyai acara besar.
“Hamstring saya Grade 2, walaupun belum ada analisis penuh perubatan, so the competing risk is very high to relapse,” katanya, ketika dihubungi Flash Sukan.
Pemilik rekod kebangsaan 400 meter (m) wanita itu, turut mengakui keputusan itu dibuat selepas pertimbangan panjang.

Shereen Samson Vallabouy ketika meraih pingat emas 400m wanita di Sukan Sea Kemboja.
“Decision tu sangat susah… tapi terpaksa buat sebab kaki tak heal lagi, a bit sad but it’s okay, just have to move on,” katanya yang sebelum ini disebut-sebut sebagai prospek utama pingat emas trek negara.
Keputusan Shereen itu pasti memberi tamparan kepada skuad olahraga negara, namun atlet berusia 27 tahun itu enggan mempertaruhkan kariernya menjelang deretan kejohanan besar tahun depan termasuk Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejohanan Olahraga dalam dewan Asia.
“I want to try to see if I can qualify for the target, so I need proper recovery,” tegasnya yang kini memberi fokus penuh kepada pemulihan bagi memastikan kembali lebih kuat tahun depan.
Untuk rekod, Shereen tersenarai dalam empat acara iaitu 400m, 4x400m, 4x100m dan 4x400m campuran.